Thursday, July 2, 2009

Kenali Islam

Israj & Mikraj
ISRAK dan Mikraj satu peristiwa paling agung yang berlaku di bulan Rejab, setahun sebelum penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah.
Umat Islam wajip mempercayai dengan penuh keyakinan peristiwa itu.
Peristiwa bersejarah itu diabadikan dalam al-Quran mengandungi hikmah amat besar, menunjukkan kekuasaan Allah mencipta alam ini dan membenarkan lagi kerasulan Muhammad s.a.w.
Ia peristiwa sangat luar biasa, mencabar pemikiran manusia seisi alam kerana berlaku di luar pencapaian panca indera biasa manusia, namun bagi golongan beriman tetap yakin dengannya kerana ia bukti kuasa Allah.
Dalam Islam, ulama mencapai kata sepakat sesiapa yang meragui atau tidak mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj hukumnya kafir.
“Maha suci Allah yang membawa hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjid Aqsa di Palestin yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang amat mengetahuinya.” (Maksud surah al-Isra':1)
Tetapi bagaimana bagi mereka yang sangsi atau tidak mempercayainya langsung, malah menganggap ia satu kisah dogeng, seperti golongan yang kufur dengan nikmat Allah?
Penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar, berkata umat Islam pertama sekali kena percaya Allah itu Maha Berkuasa.
“Jadi, Allah boleh melakukan apa saja yang Dia kehendaki. Perjalanan Nabi melalui peristiwa itu juga bukan atas kehendak nabi tetapi dengan kehendak Allah SWT,” .
Daripada riwayat, menceritakan beberapa liku kejadian dialami Rasulullah s.a.w dan kejadian aneh bermula sebelum melalui perjalanan Israk dan Mikraj lagi.
Baginda mengalami pembedahan dada, hati Baginda dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah), kemudian dijahit kembali dadanya dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah.”
Selesai pembedahan, didatangkan haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan 'Israk' dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.
Tiba di tempat tertentu Rasulullah diarah oleh Jibril supaya berhenti dan bersolat dua rakaat, seperti di Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s. menerima wahyu) dan Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa a.s. dilahirkan).
Dalam perjalanan itu juga Baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Afrit dan menyaksikan golongan yang sedang bertanam, terus menuaikan hasil tanaman.
Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anak-anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan memakan daging mentah berbau busuk.
Ketika Mikraj (ke Hadhratul Qudus menemui Allah) Baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah s.a.w. dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Baginda dinaikkan ke beberapa lapisan langit bertemu dengan kalangan nabi dan rasul, termasuk Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya.
Baginda juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam, yang kemudiannya dipendekkkan kepada lima waktu saja.
Mohd Rani berkata, memang kejadian Israk dan Mikraj itu aneh tetapi semua pihak perlu menerimanya dengan hati terbuka.
Bagi yang mengerti, katanya, kebenaran peristiwa itu tidak perlu dipersoalkan kerana maksud Maha Suci Allah seperti pada ayat 1 surah al-Isra' menunjukkan kuasa Allah mengatasi segala-galanya.
“Dia yang menjalankan dengan kehendak-Nya, maksudnya Allah yang menjalankan dengan kehendak Allah.
“Malah, semua makhluk berjalan dengan kehendak Allah. Misalnya, hujan turun dengan kehendak Allah, perjalanan matahari mengikut peredaran yang tertib juga dengan kehendak Allah.
“Perkara ini harus difikirkan secara terbuka, iaitu dengan tujuan mahu mencari kebenaran, bukannya menutup kebenaran. Semua kena yakin Allah Maha Berkuasa. Jika awal-awal lagi tidak mahu percaya memang susahlah,” .
Dalam hal ini beliau mengadakan satu perumpamaan, jika Allah mahu seekor semut berjalan dari Kuala Lumpur ke Jeddah dalam tempoh 10 jam, memanglah kelihatan pelik dan sukar diterima.
“Tetapi dari segi akal sebenarnya boleh diterima, sebab mungkin ia menaiki kapal terbang atau memasuki saku baju penumpang.
“Sebab itu ada ayat dalam al-Quran yang bermaksud Maha Suci Allah iaitu merujuk kepada kekuasaan Allah.
“Supaya Allah perlihatkan tanda-tanda kebesaranNya, benda-benda zaman dulu tidak boleh lihat, tetapi Nabi boleh lihat, termasuk dengan roh Nabi.
“Batu di Masjidil Aqsa juga terangkat kerana hendak mengikut bersama Rasulullah s.a.w ke langit disebabkan sayang dan tidak hendak berpisah dengan Nabi. Itu adalah tanda kebenaran yang sangat jelas.
“Sesiapa saja boleh ke Baitul Maqdis melihat batu terbabit yang masih boleh dilihat dengan jelas hari ini,”.
Keistimewaan Bulan Rejab
Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber yang ada di tangan ulama, didapati Rejab ada keistimewaannya tersendiri. Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..” disokong oleh ulama muktabar.
Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam al-Ghunyah.
Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya.
Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas al-Quran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah S.W.T pada surah al-Taubah ayat 36 mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan: Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi s.a.w menegaskan Rejab adalah bulan Allah, iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.
Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”
Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban.
Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab. Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri.
Hal ini jelas sebagaimana diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien.
Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab).
Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)
Imam al-Nawawi mengatakan: “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain.
Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa di bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunahan puasa terbabit.
Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: “Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi s.a.w menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu darinya.”
Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: “Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) di zaman Jahiliyah. Maka apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. Baginda menjawab : “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.”
Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”
Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya yang tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulamak salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab.
Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam agar kita tidak tersasar daripada landasan yang benar.
Dalill yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.
Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita?
Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah.
Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita. InsyaAllah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.

WASIAT KE-2 AL-BANNA: BACA AL-QURAN, JANGAN BUANG MASA
"Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku atau pergilah mendengar perkara-perkara yang baik atau amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dengan hal-hal yang tidak berfaedah." Wasiat kedua Imam Hasan al-Banna.
Program tarbiyyah kedua yang terjelma melalui wasiat Hasan al-Banna ialah perihal mempertingkat daya faham umat Islam melalui bacaan al-Quran, membaca buku-buku, mendengar ceramah agama, mengamalkan zikrullah. Pendek kata, Imam Hasan al-Banna tidak mahu anggota ikhwan atau umat Islam itu akan terbuang waktunya walau sedikit pun dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
Di dalam surah al-Asr, disebutkan mengenai kerugian yang dikaitkan dengan masa. Pada asalnya, semua manusia itu hidup sentiasa dalam kerugian. [1] Demi Masa!; [2] Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian; [3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. Tetapi, antara mereka itu, ada beberapa golongan yang semakin berkurangan kerugiannya dengan sebab amalan dan kepercayaan mereka itu.
Pertamanya, mereka yang beriman, yakin dan percaya kepada Allah, kitab-kitabNya, nabi dan malaikat serta kewujudan akhirat. Sesiapa yang termasuk dalam golongan ini, maka mereka telah terlepas daripada belenggu kerugian yang pertama. Kedua, mereka yang beramal soleh, membuat kebajikan, membantu meringankan beban, membuang kesusahan orang-orang yang memerlukan bantuan dan sebagainya. Ketiga, mereka yang saling berwasiat atau berdakwah atas nama kebenaran. Keempat, mereka yang saling berwasiat atau berdakwah dengan penuh kesabaran. Tetapi, awal kepada segala puncak kesedaran ini bermula apabila seseorang Muslim itu mula memahami makna yang tersembunyi dan terselit di dalam al-Quran.
Sesudah al-Quran menjadi kunci kepada pintu kesedaran seseorang Muslim itu, Hasan al-Banna berpesan kepada kita supaya kerap membaca buku-buku. Sudah tentu, buku ilmiah ini akan menuntut pergerakan pemikiran kita ke arah laluan kebenaran.
Dengan pengetahuan, seseorang Muslim tidak akan tertipu. Buku-buku ilmiah boleh juga kita dapati daripada ulasan-ulasan buku di majalah, akhbar. Ringkasnya, hubungan orang Islam dengan buku itu wajib ada. Sekiranya, tiada buku dijumpai, maka al-Banna menyeru kita pergi mencari guru, ustaz yang menyampaikan ilmu, ceramah agama tempat terbitnya segala buah fikiran baru. Selanjutnya sumber-sumber ilmu lain selepas itu ialah usrah atau perkumpulan kecil yang selalu membanyakkan ucapan-ucapan yang baik didengar. Diskusi perkumpulan kecil ini juga perlulah dihadiri oleh seseorang Muslim yang beriltizam dengan agamanya.
Dan, seterusnya Imam Hasan al-Banna berpesan kepada kita agar mengamalkan zikir dan beriltizam menghabiskan ratib-ratib yang kita mahu amalkan. Paling mudah seseorang itu boleh mengamalkan wirid al-Mathurat, Wazifah as-Sughra jika tiada kesempatan. Dengan amalan wirid wazifah al-Kubra dan as-Sughra inilah seseorang itu akhirnya akan menggunakan masanya untuk membuat hal-hal kebaikan secara tak langsung. Lalu, dengan cara membaca al-Quran, memperuntukkan masa untuk membaca buku atau berzikir, maka sepenuh kehidupannya terisi dengan waktu-waktu yang indah serta masa yang berfaedah. Lalu, terelaklah beliau menggunakan waktunya ke arah keburukan.
KesimpulanMaka, hendaklah setiap umat Islam itu membaca al-Quran. Tidak cuma membaca. Yang paling penting ialah mereka mesti cuba memerhati pesanan Tuhan di dalamnya. Jangan dibiarkan hati mereka selalu kering dan akhirnya mati. Basahkan dengan sejumlah wirid, ratib-ratib dan zikrullah yang biasa diamalkannya. Hati yang sentiasa ada pertalian dengan Tuhan akan sentiasa bersimbah ilmu, ilham dan pengetahuan yang baru.
Carilah ilmu walaupun sedikit. Masa yang terluang dengan tujuan yang tidak munasabah hendaklah kita sifarkan sama sekali. Hidup seorang Muslim itu sentiasa penuh dan padat dengan hal-hal yang berguna kepada diri dan masyarakat sekitarnya. Al-Quran itu adalah induk samudera ilmu. Akar pengetahuan dan ranting hidayah kepada kita semua. Bacalah al-Quran, kelak ia menjadi pendinding kepada segala permasalahan dan ia akan berbicara kepada kita.
Sampai kepada suatu saat, al-Quran akan menjadi suara yang akan berbicara kepada jiwa kita dengan syarat kita memahaminya betul-betul mengikut nahu bahasa Arab. Lazimkanlah diri membaca, menghafal dan yang paling utama, menghayati, merenungi setiap inci perkataannya dan lihat arahan Tuhan. Lazimi lidah kita dengan berzikir atau hati kita mesti ikut berzikir. Ketenteraman dan kedamaian akan menyelimuti kita.